Wednesday, 11 April 2012

Latar Belakang GPS




Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang dahulunya dikenali sebagai Kelab Pengguna Institusi Pengajian Tinggi merupakan suatu entiti kumpulan yang berstruktur, berperlembagaan, berperaturan dan berkepimpinan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar IPT yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama serta bertujuan untuk saling bekerjasama, bantu-membantu dan berkongsi sumber dalam melaksanakan aktiviti dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama dalam hal-hal kepenggunaan.

GPS ditubuhkan bersesuaian dengan misi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) iaitu memacu negara ke arah mewujudkan masyarakat pengguna yang sedar akan hak mereka sebagai pengguna serta masyarakat pengguna yang perkasa.

Objektif GPS
GPS mempunyai tiga objektif utama
  • Membentuk kumpulan pengguna generasi baru yang bijak, rasional dan bertanggungjawab supaya mahir dalam membuat keputusan pembelian barangan dan perkhidmatan dengan mengambil kira faktor-faktor seperti harga, kualiti, keselamatan, penggunaan sumber, pertimbangan ekologi dan keadaan ekonomi semasa.

  • Mewujudkan gerakan kepenggunaan yang berinformasi, rasional, peka dan mempunyai semangat sukarelawan bagi membantu melindungi pengguna daripada segala bentuk penyelewengan.

  • Membangunkan rangkaian kerjasama yang besar, bersatu padu, komited dan proaktif dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepenggunaan yang menyumbang kepada peningkatan kesedaran serta pengetahuan kepenggunaan di kalangan pelajar dan masyarakat.
 Logo Gerakan Pengguna Siswa (GPS)

Tiga warna yang dipilih iaitu biru tua, merah dan kuning adalah berteraskan kepada warna bendera Malaysia yang melambangkan maksud seperti berikut:

Biru tua melambangkan perpaduan dan keharmonian yang wujud antara pelajar berbilang kaum, agama dan budaya

Merah melambangkan keberanian, bersedia menghadapi cabaran, mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan sentiasa mencari peluang untuk menambah ilmu pengetahuan.

Kuning melambangkan kedaulatan Raja Berpelembagaan, menghormati Demokrasi Berparlimen dan falsafah Rukun Negara.

Lakaran tiga imej manusia membawa maksud jalinan kerjasama erat di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan mengamalkan sikap saling membantu antara satu sama lain dalam aspek kepenggunaan.

Faedah Sebagai Ahli

  • Memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan isu-isu kepenggunaan semasa yang memberi manfaat yang besar kepada diri, rakan, ahli keluarga dan masyarakat.
  • Berpeluang menyertai dan mengendalikan pelbagai program/aktiviti kepenggunaan yang menarik seperti lawatan sambil belajar, kembara pengguna, explorace pengguna, cabaran interaktif pengguna, latihan jurulatih kepenggunaan, seminar, forum, dialog dan banyak lagi.
  • Memberi sumbangan kepada masyarakat melalui perkongsian maklumat dan penglibatan dalam program/aktiviti kepenggunaan yang memberi impak kepada masyarakat.